JOHOR BAHRU, 22 Julai 2025 – Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dengan Kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah menganjurkan Latihan Kod ISPS ‘Ops ISPS Ex-Nasional Seminar 2025 dan Latihan Cape-X 13’ dari 22 hingga 24 Julai 2025 di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru. Latihan ini dijalankan bagi memenuhi keperluan Kod ISPS sebagaimana dinyatakan dalam Bahagian B, Seksyen 18.6, yang menekankan bahawa Latihan Sekuriti perlu diadakan secara berkala, sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tidak melebih 18 bulan.
Program ini telah disertai oleh seramai 386 orang peserta yang terdiri daripada 12 orang Pegawai Lembaga Pelabuhan Johor, 21 orang Pegawai Jabatan Laut Malaysia, 21 orang Pegawai Agensi Penguatkuasaan, 158 orang Pegawai dari Fasiliti Marin Kod ISPS Negeri Johor dan 174 orang Pegawai dari Fasiliti Marin Kod ISPS Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Latihan Kod ISPS ini dilaksanakan melalui tiga komponen utama, iaitu Seminar Sekuriti, Latihan Meja (ISPS Code Tabletop Exercise), dan Latihan Penuh Cape-X 13 (Full Scale Exercise). Dengan berlangsungnya Latihan Kod ISPS ini, dapat dinyatakan bahawa pematuhan terhadap Konvensyen Antarabangsa yang dikeluarkan oleh International Maritime Organization (IMO) melalui Kod ISPS telah ditunaikan dan dilaksanakan dengan berkesan.
Majlis Perasmian Pembukaan Latihan Kod ISPS ‘Ops ISPS Ex-Nasional Seminar 2025 dan Latihan Cape-X 13’ ini telah disempurnakan oleh YBrs. (Dr.) Hj. Rosnan bin Fathlal, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor.




























AJK Siaraya / Media